PENDUDUK di Gunungkidul, Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), Indonesia kini pelik dengan kejadian sejumlah kambing milik seorang penduduk mati dalam keadaan aneh apabila semua darah haiwan itu kering dan ada dua lubang pada leher seperti kesan gigitan pontianak.
Menurut laporan Liputan6, pemilik kambing itu, Suraji, di Dusun Danggolo, Desa Purwodadi, Kecamatan Tepus, Gunungkidul, berkata tujuh daripada lapan kambingnya ditemui mati dalam kandang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
“Seekor kambing yang terselamat luka di kaki manakala seekor lembu tidak diapa-apakan,” katanya semalam.
Suraji sudah memasang pagar kayu dan buluh bagi mengelak haiwan buas masuk ke kawasan kandang dan dia menemui kesan tapak kaki kecil di sekitar kandang.
Namun, penduduk berasa pelik kerana badan kambing tiada kesan luka, hanya beberapa bahagian kecil kelihatan seperti dimamah.
Suraji dan penduduk menemui kesan luka di leher yang menyebabkan kambing terbabit kehabisan darah namun tiada kesan lumuran daerah di sekitar kawasan jadian.
“Haiwan pemangsa itu mungkin puluhan jumlahnya dan kesan tapak kaki kecil menuju ke kawasan bukit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian dan Penternakan Gunungkidul, Bambang Wisnu Broto, berkata pihaknya belum dapat memastikan haiwan pemangsa yang menyerang kambing terbabit,
Ketua kampung, Purwodadi Sucipto, mendakwa sudah lebih 50 kambing milik penduduk menjadi mangsa serangan misteri itu dan pihaknya akan mengadakan rondaan selepas ini.
Sumber: Harian Metro
HALAMAN SELANJUTNYA: