Pemilik Paksa Ular Muntah Keluar Bangkai Kucing Peliharaannya


THAILAND - Seekor ular sepanjang 17 kaki telah membunuh dan menelan seekor kucing peliharaan, dipaksa memuntah keluar bangkai kucing itu oleh pemiliknya. 

Lapor Daily Mail, ular itu telah menelan seekor kucing yang dinamakan sebagai Bobo selepas ia menyelinap masuk ke rumah pemiliknya di Pathum Thani, pagi Rabu. 

Ular itu kemudian bersembunyi di bawah sinki dapur setelah kekenyangan menelan kucing yang dianggarkan berusia tiga tahun dan seberat tiga kilogram.

Bagaimanapun, pemilik kucing, Saowarak Charoen, 59, yang ketika itu baru sampai di rumah, menyedari kehadiran haiwan reptilia tersebut, lalu terus menghubungi pihak polis. 

"Saya pergi ke dapur dan perasan pintu kabinet dapur di bawah sinki terbuka. Kemudian saya ternampak ada ekor ular yang terjulur keluar, yang saya sangkakan ular itu bersaiz kecil. Saya cepat-cepat keluar dan menghubungi pihak polis," katanya.

Tidak beberapa lama kemudian, dua anggota polis bersama tiga penyelamat haiwan dan seorang wartawan tiba di tempat kejadian. Setelah mengambil masa beberapa minit, mereka berjaya mengeluarkan ular itu. 


"Apabila mereka tiba, mereka kata ular yang ditemui itu adalah ular yang bersaiz besar, membuatkan saya terkejut," katanya. 

Mereka kemudian memindahkan haiwan reptilia itu ke luar rumah dan memaksanya memuntah keluar bangkai haiwan peliharaan Saowarak. Dalam video yang dirakam, kelihatan kaki kucing itu muncul terlebih dahulu di mulut ular berkenaan.





Difahamkan, Saowarak telah menguburkan kucing kesayangannya itu di kawasan halaman rumahnya. Dan dia kini hanya memiliki dua ekor kucing sahaja.

"Saya sedih setiap kali terfikirkan tentang Bobo dan bagaimana dia mati diserang ular tersebut," katanya. 

Pegawai Hidupan Liar kemudian mengesahkan ular itu berukuran sepanjang lima meter sahaja dan mereka telah melepaskan ular itu semula ke dalam hutan. 

Sumber: The Reporter
HALAMAN SELANJUTNYA:


close[CLICK 2x UNTUK MENUTUP]