Tak Hirau Bayaran Lebih Murah Daripada Pelakon Baru.


Pelakon, Kazar Saisi tidak pernah gagal memberi kesan kepada penonton. Berilah apa saja watak kepadanya baik komedi, antagonis ataupun protagonis, pasti menjadi.

Seperti pelakon seangkatan dengannya, dia juga jarang diberi watak utama dalam filem atau drama, sebaliknya laluan diberi kepada pelakon baru yang lebih muda ‘bergetah’.

Itu belum lagi dikira dengan beza bayaran diterima pelakon berpengalaman dan baru yang diibaratkan langit serta bumi.

Bertemu Kazar atau Kazarudin Saisi, 58, baru-baru ini, pelakon yang juga pernah dikenali sebagai penyanyi itu mengakui, tidak pernah terkilan dengan situasi pelakon lama dibayar rendah berbanding pelakon baru dan muda.

“Saya tidak terkilan sebab pandang pada sudut lain. Kalau asyik nak pandang pada satu sudut saja, memang angin!

“Kita kena terima hakikat orang berniaga. Siapa berniaga nak rugi, ‘kan?” katanya berseloroh.

Namun, Kazar tidak nafikan masalah bayaran selalu timbul. Santai tapi sinis, Kazar berkata, pelakon muda sentiasa peroleh bayaran lebih besar berbanding pelakon tua.

Katanya, yang bekerja lebih dan berpengalaman tetap dibayar kurang. Namun, tiada apa yang boleh dilakukan sebab ia sebahagian daripada bisnes.

Katanya, ini bukan lagi zaman berkarya tetapi zaman ‘buat duit’. Lagipun, andai diletak pelakon berusia sepertinya sebagai watak utama di pawagam, siapa yang mahu menontonnya?

Dia mengakui walaupun mempunyai ramai pengikut dalam laman sosial Instagram, kebanyakan peminat yang ada lebih suka menonton lakonannya di rumah saja.

Dakwanya, penonton pawagam selalunya adalah golongan remaja dan suka atau tidak, produser perlu menggunakan bakat muda dan dia perlu menerima hakikat itu.

Kazar juga persoalkan segelintir pelakon lama yang suka merungut dan mendakwa bakat muda tidak bagus.

“Apa bukti kamu bagus? ‘Sale’ pun tiada! Tidak dinafikan ada yang bagus tetapi ia tidak cukup bagus untuk tarik penonton ke pawagam.

“Lagipun negara kita sudah ke arah itu. Pada umur tertentu, kita sudah tidak lagi ke pawagam,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Kazar boleh dianggap bertuah kerana dalam filem sulung arahan Raja Azmi, Enjin No. 9, dia memegang watak utama sebagai Haji Leman.

“Saya pegang watak utama pun sebab tuntutan skrip. Begitupun, pelakon lain tetap orang muda. Zaman sekarang, pengikut itu penting. Kita yang tua ini, ‘follower’ atau pengikutnya kurang.

“Mahu atau tidak, kena kedepankan orang muda untuk tujuan pasaran. Pada saya, tiada beza sebab kalau diberi satu dua babak sekalipun, saya tetap lakukan yang terbaik. Ini kerja berpasukan, kalau yang lain tidak memberi, kerja tak menjadi,” katanya.

Kazar gembira sebab ada produksi terutamanya filem, memberi peluang pelakon berusia untuk pegang watak utama.

Katanya, selalu orang beranggapan kalau watak utama sahaja pasti orang muda walhal boleh sahaja beri watak itu kepada pelakon berusia.

Cuma kebanyakan produser takut untuk kedepankan orang lama kerana gusar tiada pasaran. Bagi Kazar, perkara itu sebenarnya tiada masalah dan produser serta pengarah hanya perlu bijak mengadunkannya sahaja.

“Contohnya cerita pasal orang lama tetapi dikelilingi orang muda. Setengah orang sangat takut nak letak orang lama di atas sedangkan hal itu sama saja. Kalau orang muda di atas pun, kadangkala orang lama yang lebih hebat” katanya.

Pengorbanan Kazar dalam laman sosial

Bagi yang mengikuti laman Instagram milik Kazar, dia sering memuat naik foto dan status lucu yang penuh makna tersirat.

Ditanya tabiatnya itu, pelakon yang mempunyai lebih 283,000 pengikut dan menggunakan profil @kazar35 ini berkata, dia mencuba sebaik-baiknya untuk menarik anak muda agar tidak menjadi ‘ganas’ supaya generasi muda lebih berfikiran luas.

“Sebagai orang Melayu, kita kena jaga budi bahasa. Kita tidak boleh marah sebab kita pun pernah merasai alam remaja. Bagi remaja, apa sahaja orang tua cakap, selalunya tidak betul. Jadi, kena anggap sebagai kawan.

“Saya anggap ini pengorbanan saya kepada generasi muda. Kalau orang lain, lagi dimarahi lagilah orang muda memberontak!” katanya.

Pelakon asal Kampar, Perak ini akui caranya berjaya menambah lebih ramai pengikut golongan muda.

Katanya, dia tidak menggunakan laman sosial popular lain seperti Facebook kerana berpendapat laman sosial itu sudah terlalu penuh dengan elemen negatif.

“Facebook selalunya tempat golongan dewasa meluahkan rasa geram dan sering penuh dengan komentar negatif.

“Disebabkan itu, saya lebih gemar melayan laman sosial Instagram saja,” katanya.

Cara Kazar memuat naik sesuatu entri juga dengan niat berlipur dan melihat diri sebagai penghibur peminat 24 jam.

Sumber: Harian Metro
HALAMAN SELANJUTNYA:


close[CLICK 2x UNTUK MENUTUP]