TANGKAK: Sebuah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipasang pihak berkuasa di Kilometer (KM) 151.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, bukan sahaja dirosakkan, malah komponennya turut dicuri.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri, berkata kejadian itu disedari kira-kira jam 9.35 pagi tadi apabila Unit Peronda Lebuhraya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pusat kawalan operasi lebuh raya berkenaan.
"Sehubungan itu, sebuah kenderaan peronda lebuh raya yang dalam tugas rondaan dari Ayer Keroh, Melaka ke Pagoh, Johor digegaskan ke lokasi terbabit.
"Ketika tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 9.50 pagi, mereka dapati tiang yang menempatkan kamera sistem AES terbabit sudah tumbang dipercayai akibat perbuatan khianat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohad Idris berkata, siasatan awal juga mendapati beberapa komponen sistem terbabit termasuk kamera yang digunakan untuk merakam pesalah lalu lintas turut hilang.
"Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat terbabit dilakukan antara malam tadi hingga pagi ini. Pihak polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kejadian berkenaan.
"Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sumber: BH Online
HALAMAN SELANJUTNYA: