Anda pernah terbaca di Twitter atau Facebook tak dimana seorang ejen dari Malaysia menawarkan pekerjaan yang sangat menarik. Anda boleh mendapat ribuan ringgit dalam masa seminggu dengan hanya memetik buah di Australia. Wahh, kerja senang macam tu siapa yang tak nak beb.
Kerja kat negara sendiri bagai nak rak pun sampai ke sudah tak kaya-kaya. Huhu. Tapi sebelum anda berangan untuk menjadikan memetik buah sebagai kerja tetap anda, anda kena baca kisah yang dikongsikan insan yang bernama Kayla ni. Kami baca luahannya terus tak jadi nak pindah Australia. Seramnya..
Jangan terpedaya dengan iklan kerja pemetik buah gaji lumayan
Kisah ini dilaporkan oleh Sinar Harian, dimana wanita bernama Kayla menceritakan pengalaman sebenar memetik buah di Australia. Pada mulanya Kayla bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji sekitar RM5, 000. Tetapi dia terpaksa berhenti kerana ingin menjaga ibunya yang sakit.
Antara adik-beradik, hanya saya yang masih bujang, jadi tugas menjaga ibu jatuh di bahu saya.
Selepas ibunya pulih, Kayla ambil keputusan untuk pindah ke Australia dan mencari ‘lubang’ serta berusaha untuk mencari orang tengah supaya dia dapat bekerja sebagai pemetik buah. Iya lah, siapa yang tak rambang mata jika nampak iklan pekerjaan di Facebook yang menawarkan gaji RM12, 000 sebulan dengan kerja yang senang macam tu.
Dengan restu ibu, Kayla nekad mengeluarkan semua duit simpanan serta menjual motor kesayangannya. Kayla juga ketika itu meminjam duit adik beradik yang lain serta rakan-rakan demi untuk cukupkan modal.
Pada waktu itu, saya meletakkan keyakinan kepada ejen dengan harapan saya tidak akan ditipu, malangnya ia sia-sia sahaja.
Sampai ladang, ejen ‘ghaib’
Selepas semua persiapan dah buat, Kayla pun meninggalkan bumi Malaysia dan dalam perjalanan ke Australia, pelbagai persoalan bermain di fikiran Kayla. Kata ejen yang memperkenalkan diri sebagai Mie (berasal dari pantai timur) tidak putus-putus memberitahu Kayla supaya jangan bimbang kerana semuanya sudah diuruskan.
Saya nekad, saya teruskan. Saya sudah tidak boleh berpatah balik, lagipun tujuan utama saya untuk menjadi pemetik buah di Australia ialah mahu melangsaikan hutang dan pinjaman.
Bila sampai sahaja di sebuah ladang di Victoria, Kayla pun memulakan pekerjaannya sebagai pemetik buah. Tapi perasaan curiga bermula apabila ada pemetik buah yang lebih lama di sana merungut tidak dibayar gaji.
Apabila saya cakap kontraktor ladang tidak bayar gaji kepada ejen yang menguruskan saya, ejen berkenaan terus ‘ghaib’ tanpa jejak. Dia terus lepas tangan begitu sahaja.
Merasakan sesuatu yang tak kena..
Di situ bermula lah mimpi ngeri Kayla sebagai pemetik buah. Selepas dirinya ditipu kontraktor ladang, Kayla diarahkan oleh ejen lain supaya ke sebuah pekan kecil yang bernama Robinvale, Victoria.
Ejen itu hanya memberikan saya satu nombor telefon yang dia sendiri tidak pasti siapa, tetapi mendakwa ia milik kontraktor yang akan memberikan saya pekerjaan.
Malangnya saya tak dapat menghubungi ejen berkenaan dan dari situlah bermulanya siri penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-ratanya mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap di Australia.
Amat menyedihkan Kayla ialah apabila yang menipunya adalah orang dari negara kita sendiri.
Seperti berada di ‘neraka’, sering kena tipu
Demi untuk meneruskan hidup di sana, Kayla terpaksa tempuhi rintangan dan cabaran yang datang. Sehingga kan dia tak sedar pun dia sudah sebulan bekerja keras di Australia. Kontraktor pula semakin galak membuat tipu helah kononnya upah akan dibayar mengikut jam kerja, namun semua hanya janji sekadar janji.
Setiap kali tiba hari bayaran, kontraktor akan gunakan alasan untuk memotong upah kononnya kotak buah hilang, buah rosak dan pelbagai lagi alasan. Potong punya potong, dapatlah AU$5.4 (RM16), lepas tolak duit sewa rumah AU$80 (RM245).
Kena ingat, di Australia sebanyak 10 peratus GST ditolak daripada gaji.
Mungkin lebih baik jadi penjual nasi lemak atau goreng pisang di Malaysia daripada kerja seperti saya di sana.
Menurut Kayla kadang-kadang dia merasakan diri dia dipergunakan tapi tak boleh buat apa-apa mengenai perkara tersebut.
Cuma saya kesal ramai mangsa yang sudah ditipu tidak mendedahkan kisah mereka, kalau ia diuar-uarkan setidaknya mungkin dapat mengelak saya daripada melalui azab seperti itu.
Inilah pengajaran berurusan dengan penipu. Nasihat saya seboleh-bolehnya kalau ada sesiapa yang berminat untuk bekerja sebagai pemetik buah, dapatkan ‘working holiday visa’ untuk tempoh setahun, tidak mahal pun lebih kurang RM1,000. Cari kenalan yang boleh dipercayai dan boleh tawarkan kerja sepanjang musim, bukannya ejen.
Banyak beri pengajaran
Kehidupan Kayla sebagai pemetik buah selama dua bulan di Australia beri banyak pengajaran kepadanya. Wang poket yang dibawa sebanyak RM9, 000 habis digunakan untuk menampung perbelanjaan di sana termasuklah tiket penerbangan balik ke Malaysia.
Kesusahan hidup sebagai pekerja dan dengan hanya menggunakan visa pelawat juga membuatkan hidup Kayla tidak tenteram, kerana setiap kali sedang memetik buah, dia bimbang akan ditangkap oleh pihak berkuasa.
Oleh kerana tidak tahan dengan pelbagai kos serta wang yang telah digunakan, Kayla buat keputusan untuk terus berhenti menjadi pemetik buah dan meninggalkan ladang tersebut. Dengan Visa yang hampir tamat tempoh, Kayla akhirnya balik ke Malaysia. Bagi Kayla, cukup lah dua bulan yang amat memeritkan tu.
Sumber : OHBULAN
HALAMAN SELANJUTNYA: